Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sultan Selangor zahir dukacita atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

8 September 2026 ~ DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas kembalinya ke Rahmatullah, Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali. -- IG Selangor Royal Official
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pagi Isnin.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menzahirkan rasa sedih serta dukacita atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pagi Isnin.

Menerusi satu kenyataan, banginda turut berkenan menyampaikan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat kehilangan tersebut.

Baginda berdua juga menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang dilahirkan di Klang, Selangor, selain memaklumkan bahawa Baginda turut mengenali ahli keluarga Allahyarhamah.

“Duli-Duli Tuanku berkenan menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dan mendoakan agar mereka terus tabah serta kuat menghadapi saat yang sukar ini,” menurut kenyataan di laman Instagram.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi Isnin. 

Jasad beliau dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini, sekitar jam 2.55 petang, pada Isnin untuk proses pengurusan jenazah.

Difahamkan seterusnya Allahyarham yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga, sahabat handai serta orang ramai sehingga jam 4.30 petang.

Jenazah kemudian akan dibawa ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya selepas solat Asar untuk disemadikan.

Must Watch Video

Advertisement