CYBERJAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada 9.40 pagi disambut Presiden RSPEC Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail.
Acara itu turut diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda Sultan Selangor.
RSPEC dalam kenyataan memaklumkan keberangkatan baginda berdua menyerlahkan kedudukan RSPEC sebagai sebuah destinasi sukan unggul yang menggabungkan kekayaan warisan ekuestrian dengan pelbagai kemudahan rekreasi dan pengalaman berteraskan komuniti.
Menurutnya usaha penubuhan kompleks itu sekali gus membuka ruang baharu bagi pembangunan sukan dan pelancongan sukan bertaraf dunia di Selangor.
“RSPEC dibangunkan dengan satu visi yang jelas, iaitu mengangkat polo dan ekuestrian ke tahap yang lebih tinggi, di samping mewujudkan sebuah destinasi sukan yang terbuka, aktif dan relevan kepada komuniti," kata RSPEC.
Sepanjang lawatan berkenaan, baginda berdua berkenan meninjau pelbagai infrastruktur polo dan ekuestrian bertaraf dunia di premis tersebut.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyempurnakan acara menanam pokok dan perasmian arca kuda di premis itu.
Kompleks itu merangkumi sebuah padang polo lengkap dengan trek pasir sepanjang satu kilometer di sekelilingnya, 136 kandang kuda serta arena dalaman dan luaran.
RSPEC, dibangunkan dengan mematuhi piawaian antarabangsa yang ketat, memperkukuh keupayaan Selangor menganjurkan kejohanan berprestij di peringkat domestik dan rantau.
-- BERNAMA