MALAYSIA
Sumbangan 2 juta dos vaksin: Syarikat nafi cuba 'scam' kerajaan Pulau Pinang

Astro AWANI turut melakukan tinjauan di lokasi alamat pejabatnya berdasarkan maklumat diperolehi daripada alamat tertera pada surat yang didedahkan oleh Khairy sebelum ini. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA KINABALU: Wakil sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang terbabit dalam isu dikatakan penipuan sumbangan bekalan vaksin COVID-19 kepada kerajaan Pulau Pinang, hari ini, tampil menafikan perkara itu.
Menurut individu mendakwa diri sebagai 'Yong Chee Kong', dia terkejut apabila dimaklumkan media berhubung isu berkenaan.
"Pada mulanya ia (sumbangan) adalah ke (untuk) Sabah, tetapi kerajaan negeri menyatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan sumbangan itu.
"Kemudian, kita menyerahkannya (sumbangan) kepada Pulau Pinang dan dihubungi oleh wakil kerajaan yang memberikan saya surat untuk ditandatangani," dakwanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Terdahulu, cubaan Astro AWANI untuk menemuramah 'Chee Kong' secara bersemuka tidak berjaya.
Astro AWANI turut melakukan tinjauan di lokasi alamat pejabatnya berdasarkan maklumat diperolehi daripada alamat tertera pada surat yang didedahkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, sebelum ini.
Mengulas lanjut, 'Chee Kong' mendakwa, surat ditandatanganinya itu bagaimanapun memaparkan nama syarikat yang salah kerana ia sepatutnya merujuk terus kepada syarikat penyumbang yang berpangkalan di Hong Kong itu.
Dakwanya, dia di Malaysia bertindak sebagai perantara bagi syarikat terbabit.
"Itulah perkara yang berlaku, anda tidak boleh menyampaikannya kepada media dengan mengatakan saya penipu, menipu, tidak adil bagi saya," dakwanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami