Skip to main content

Malaysia

SuRIA Home tawar rebat solar hingga RM3,000- Petra

Sumber: Astro AWANI
Menurut Fadillah, rogram Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home dijangka memberi manfaat antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250 megawatt (MW). - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan program Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home bermula 1 Jun 2026 sebagai sebahagian daripada usaha membantu rakyat mengurangkan kos elektrik menerusi pemasangan sistem solar bumbung kediaman.

Menurut Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, program berkenaan dijangka memberi manfaat antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250 megawatt (MW).

“SuRIA Home ialah satu insentif yang kita lancarkan untuk memberi galakan kepada mereka yang mahu memasang solar di bawah Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan atau Solar ATAP yang sudah pun mula dilaksanakan Januari tahun ini.

“Tetapi apabila timbul suara bertanyakan sama ada terdapat insentif ataupun tidak, PETRA akhirnya memutuskan untuk menyediakan insentif bernilai RM120 juta bermula 1 Jun hingga Disember tahun ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program SuRIA Home di Putrajaya, pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pengguna domestik yang memasang sistem Solar ATAP dan memenuhi syarat kelayakan boleh menerima rebat sebanyak RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar, sehingga maksimum RM3,000 bersamaan kapasiti 5kWac.

“Pada masa sama, mereka yang telah memasang sistem solar di bawah program berkenaan juga, Insya-Allah, layak menerima insentif ini, namun perlu berdaftar mengikut proses yang akan ditetapkan nanti,” tambah Fadillah.

Dalam perkembangan sama, PETRA menegaskan, mana-mana pihak termasuk penyedia perkhidmatan solar yang didapati menyalahgunakan sistem permohonan yang disediakan oleh Sustainable Energy Development Authority Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad boleh disenarai hitam daripada menyertai program insentif pada masa hadapan.

Pelaksanaan SuRIA Home mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selaras dengan prinsip keterangkuman, kemampanan serta keterjaminan tenaga negara.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan baharu kerajaan dalam membantu rakyat mengurangkan kos elektrik menerusi penggunaan sistem solar bumbung kediaman.

Must Watch Video

Advertisement