Kerajaan Selangor pada hari Sabtu menyatakan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana syarikat konsesi berhubung syarat-syarat yang ditetapkan bagi pembinaan lebuh raya baharu di negeri itu baru-baru ini.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata tiada sebarang respons bertulis atau maklum balas terkini daripada syarikat konsesi terlibat dan pihaknya masih belum boleh memberikan komen lanjut mengenai penerimaan syarat tersebut.

"Kita dah umum dalam belanjawan dan pertemuan dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) juga sudah dimaklumkan. Ini pendirian kerajaan negeri tentang sebarang pembangunan lebuh raya di Selangor.

"Saya belum terima apa-apa maklum balas secara bertulis, jadi saya tak boleh komen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Perangsang-SkimSel di sini pada hari Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penerimaan syarikat konsesi lebuh raya berhubung penetapan syarat-syarat kerajaan negeri itu.

Tiga syarat yang ditetapkan kerajaan Selangor bagi pembinaan lebuh raya di negeri itu adalah mendedahkan sepenuhnya perjanjian yang ditandatangani syarikat konsesi dan menyatakan kadar tol, cadangan kenaikan kadar serta anggaran kadar pulangan yang diterima.

Selain itu, syarat tersebut menetapkan syarikat konsesi perlu menyediakan Penilaian Impak Lalu Lintas bagi mana-mana lebuh raya baharu dalam memastikan ia memberi kebaikan kepada pengguna dan penduduk di sekitarnya.