Syarikat yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu memohon kebenaran daripada kerajaan Sarawak terlebih dahulu untuk beroperasi di negeri itu.

Perkara ini susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pembukaan semula sektor ekonomi bermula 4 Mei ini.

Namun jelasnya, keputusan tersebut tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana sebarang bentuk perhimpunan besar adalah tidak dibenarkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pihaknya masih lagi menilai sebarang keputusan yang akan diambil oleh kerajaan negeri tersebut.

“Kita mahu memastikan perkara ini diteliti sebaiknya. Sebagai contoh, syarikat yang telah mendapat kelulusan MITI perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri juga.

“Sehubungan itu, kami menyeru syarikat yang telah mendapat kelulusan MITI untuk menangguhkan pengoperasian sebelum kelulusan daripada kerajaan negeri Sarawak dikeluarkan,” katanya.

Setakat ini, kerajaan negeri Sarawak masih belum membuat keputusan muktamad sama ada akan mengikuti langkah yang diambil oleh kerajaan pusat itu.

Sementara itu, Uggah turut menyentuh mengenai kebajikan para petugas kesihatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Jelasnya, sebarang bentuk kesulitan yang dialami mereka akan ditangani sebaik mungkin dan diberi perhatian penuh.

Dalam masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa mereka tidak dibebani. Malah bekerja mengikut jadual yang dipantau ketak oleh pihak hospital.

“Setakat ini, mereka pada tahap terbaik. Apabila kita melihat kepada angka, kes ini menunjukkan pendataran. Semalam, ada dua kes (positif) dan hari ini sembilan.

“Kita berharap ia akan berterusan dan petugas barisan hadapan terus bekerjasama dalam perkara ini.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan peralatan kesihatan daripada Kumpulan Samling dan Serba Dinamik di bangunan DUN lama di Kuching pada Sabtu.