KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri dua persidangan antarabangsa di Switzerland dan Korea Selatan, bulan depan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq, 30, dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali.

"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Syed Saddiq) untuk mendapatkan pelepasan pasport dan pemohon perlu memulangkan pasport kepada mahkamah pada 20 Mei ini," kata hakim itu.

Terdahulu, Lim berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan anak guamnya untuk mendapatkan sementara pasport berkenaan.

Sementara itu, Mohd 'Afif mengesahkan bahawa tiada bantahan daripada pihak pendakwaan selaku responden.

Berdasarkan afidavit, Syed Saddiq memohon mendapatkan pasport sementara untuk ke Switzerland pada 1 Mei bagi menghadiri persidangan polisi dadah antarabangsa dan kembali ke Malaysia pada 6 Mei ini.

Beliau juga akan ke Korea Selatan pada 15 Mei dan kembali ke negara ini pada 19 Mei bagi menghadiri serta berucap pada persidangan antarabangsa dianjurkan Centre for Asia Leadership iaitu "2023 Asian Leadership Conference" melibatkan lebih 350 pemimpin kerajaan, politik, perniagaan dan komuniti yang akan berbincang mengenai isu dihadapi Asia pada masa ini.

Syed Saddiq memerlukan pasport dalam masa terdekat kerana perlu memohon visa untuk melawat dua negara itu yang mana akan memerlukan masa.

Pada 28 Okt tahun lepas, Syed Saddiq diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberi keterangan membela diri selama dua hari bermula 22 Feb lepas dan lima individu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan antaranya bekas Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Ulya Aqamah Husamudin, bekas Pegawai Khas Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz dan bekas Setiausaha Peribadi Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah.

Hakim Azhar akan menyampaikan keputusan pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahguna dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Anak kelahiran Johor Bahru itu didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

-- BERNAMA