KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedia untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan polis berkenaan video yang dimuat naik beliau mengenai kematian tahanan, A. Ganapathy.

Perkara itu dinyatakan oleh beliau menerusi perkongsian video di Twitter miliknya pada Jumaat.

"Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, mereka bukan musuh saya, mereka adalah rakan, mereka adalah rakan sekerja saya.

"Mereka yang tidak menghormati undang-undang adalah mereka yang menentang sekerasnya (undang-undang).

"Pada hari yang sama saya dimaklumkan saya terlibat dalam siasatan adalah hari yang sama negara dikejutkan lagi dengan berita kematian seorang individu yang juga berada dalam tahanan.

"Keadilan buat saudara Sivabalan. Apa yang membuatkan kematian Sivabalan lebih tragik adalah ianya berlaku di balai polis yang sama seperti mendiang Ganapathy," kata Syed Saddiq.

Parti MUDA menerusi ciapan di laman Twitter juga mengesahkan, Syed Saddiq akan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada pagi Sabtu ini.


Difahamkan Syed Saddiq dipanggil untuk memberi keterangan berhubung sebuah video yang dimuat naiknya pada 28 April lalu beserta kenyataanya dalam video tersebut mengenai kematian dalam tahanan di Malaysia.


Beliau pada masa yang sama mempersoalkan keperluan menyiasat seorang ahli parlimen yang hanya menjalankan tugas menggesa keadilan buat kematian dua tahanan berkenaan.

"Jadi mengapa menyiasat ahli parlimen yang hanya menjalankan tugas meminta keadilan dan mempertahankan undang-undang.

"Siasat mereka yang melanggar undang-undang bukan saya," kata Syed Saddiq lagi.

BACA: Polis nafi dakwaan video tular babitkan A.Ganapathy

BACA: Polis cadang inkues untuk kes Ganapathy