KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tiga langkah dalam belanjawan akan datang bagi memastikan graduan muda dibayar gaji yang bermaruah dan setimpal.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, antaranya menginstitusikan Akta Latihan Amali Berbayar yang baharu dengan pelaksanaan diwajibkan kepada sektor kerajaan dan swasta.

Mengambil contoh guru-guru praktikal, beliau berkata ramai dalam kalangan kumpulan itu yang telah mendapat tempat tidak dibayar gaji ketika menjalani latihan praktikal.

"Kita buat dua perkara (untuk merealisasikan Akta Latihan Amali Berbayar) iaitu antara meminda Akta Pekerjaan atau adakan akta baharu untuk mewajibkan perkara ini.

"Ini kerana, di bawah latihan dan amali ini, kerap dibincangkan soal anak-anak muda yang melalui praktikal, tetapi kita ada satu lagi perkara.

"Saya sebagai anak cikgu dan banyak kali orang bangkit perkara ini di mana banyak golongan cikgu muda di Muar dan luar Muar, mereka kongsikan ingin menjadi cikgu dan sudah mendapat tempat praktikal tetapi dibayar gaji kosong ringgit," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut mencadangkan agar kerajaan mewajibkan tangga gaji pengiklanan dan 'wage benchmarking'.

Melalui tangga gaji pengiklanan, jelas beliau sistem sedia ada yang dilihat 'menjerut' graduan-graduan baharu untuk mendapatkan tangga gaji yang sepatutnya, dapat dielakkan dan ia perlu diperluaskan bukan sahaja kepada syarikat-syarikat besar tetapi juga kepada syarikat kecil dan sederhana (SME).

"Cadangan ketiga ialah 'wage benchmarking'. Untuk Malaysia mengadakan 'wage benchmarking' yang jelas dan iklan setiap tahun. Ini sama seperti yang dilakukan di Singapura.

"Di Singapura, mereka tidak ada gaji minimum tetapi mereka ada 'wage benchmarking' yang jelas.

"Apa itu 'wage benchmarking'? Ini sangat khusus dan dinilai setiap tahun serta diiklankan dengan jelas mengikut sektor," ujar Syed Saddiq lagi.