JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Muar, Syed Syaddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram tiga tahun lalu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa telah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah RM100,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Ammanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di cawangan Maybank Islamic Berhad Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Beliau didakwa dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 614).

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.


[TERKINI] YB Syed Saddiq mengaku tidak bersalah tuduhan penggubahan wang haram

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd Afif Ali.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Wan Shaharuddin memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Syed Saddiq mengguna pakai jaminan yang sama dikenakan kepada beliau ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pihak pendakwa memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana semua saksi pendakwaan adalah individu yang sama bagi kes dihadapi di Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian membenarkan semua permohonan pendakwaan dan menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.