NATIONAL
Syor SPRM agar kerajaan 'rampas' harta Daim tidak berasas - Peguam

Rajesh Nagarajan berkata, tindakan Azam yang mencadangkan supaya kerajaan merampas aset milik Daim adalah sesuatu yang tidak mempunyai asas perundangan kukuh.
KUALA LUMPUR: Peguam mewakili keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin menyifatkan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kerajaan melucut hak harta peninggalan tokoh politik itu sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.
Ringkasan AI
- Peguam keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin menyifatkan cadangan SPRM untuk melucut hak harta peninggalan beliau sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.
- Menurut peguam Rajesh Nagarajan, tiada asas undang-undang kukuh kerana Allahyarham tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah serius yang membolehkan harta beliau dirampas di bawah Akta AMLATFPUAA.
- Peguam turut mempersoalkan tindakan SPRM mengumumkan perkara itu kepada media tanpa memfailkan permohonan rasmi di mahkamah, dan menyeru agar semua tindakan berpandukan undang-undang serta nasihat Jabatan Peguam Negara.
"Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, sebarang tindakan lucut hak memerlukan sabitan atas kesalahan serius seperti yang termaktub di bawah Jadual Kedua Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rajesh juga mempersoalkan tindakan SPRM yang mengumumkan perkara itu kepada media terlebih dahulu tanpa memfailkan permohonan rasmi di mahkamah lebih awal.
"Kami beranggapan langkah ini lebih menjurus kepada usaha mencemarkan nama baik Allahyarham Tun Daim dan keluarganya.
"Sekiranya benar terdapat asas undang-undang, mengapa tidak difailkan terus ke mahkamah? Mengapa perlu dijadikan isu umum tanpa sebarang tindakan sah di sisi undang-undang?” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar SPRM dan kerajaan menghentikan sebarang kenyataan berunsur politik yang boleh menggugat maruah individu serta waris masih hidup.
“Segala tindakan harus berpaksikan kepada lunas undang-undang dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat sewajarnya,” tegasnya.
Terdahulu, Azam dalam satu kenyataan dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan tindakan melucut hak terhadap aset Daim yang didakwa tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan dijalankan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami