PUTRAJAYA: Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatat purata skor 0.707 atau 70.7 peratus pada 2021, menurun 0.7 peratus berbanding 0.714 pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata tiga negeri mencatat skor MGGI tertinggi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 0.842, Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.762) dan Melaka (0.761).

Beliau berkata tujuh negeri merekodkan skor di bawah paras kesaksamaan nasional iaitu Sabah (0.704), Kedah (0.703), Pahang (0.702), Perlis (0.699), Pulau Pinang (0.695), Perak (0.694) dan Negeri Sembilan (0.686).

"Berdasarkan kepada skor MGGI 2021, kita (Malaysia) berada di kedudukan ke-80 daripada 146 negara di dunia. Pada masa sama, dalam kalangan negara Asia Timur dan Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kesembilan pada 2021 mengatasi Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Jepun.

"Bagaimanapun, kita masih di belakang New Zealand, Filipina, Australia dan Singapura," katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2022 hari ini.

MGGI mengenal pasti jurang antara wanita dan lelaki dalam empat subindeks merangkumi peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik.

Skor dengan nilai 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah dicapai.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam subindeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.060, kesihatan dan kehidupan (0.960) manakala peluang dan penyertaan ekonomi (0.709).

"Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.5 peratus pada 2021 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Laos dengan 74.8 peratus dan Kemboja 74 peratus.

"Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 10 peratus (skor 0.10) yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri dan Parlimen," katanya.

-- BERNAMA