Skip to main content

Malaysia

Tahap tepu bina rendah beri peluang Negeri Sembilan rancang pembangunan lebih strategik - MB

SEREMBAN, 31 Ogos - Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim ketika ditemui media pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ismail ketika ditemui media pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Tahap tepu bina atau kawasan yang telah dibangunkan secara fizikal di Negeri Sembilan yang masih rendah kira-kira 12.55 peratus, memberikan ruang luas kepada kerajaan negeri merancang pembangunan baharu lebih strategik bagi memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan memenuhi keperluan penduduk.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata ketersediaan tanah yang signifikan itu dilihat sebagai antara kelebihan utama untuk menampung peluasan aktiviti perindustrian, pembangunan bandar baharu serta kemasukan pelaburan domestik dan asing pada masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau berkata ruang pembangunan yang luas itu perlu dimanfaatkan secara terancang bagi memastikan pertumbuhan fizikal negeri berjalan seiring dengan kepentingan alam sekitar, kesejahteraan rakyat dan keperluan generasi akan datang.

“Pendekatan berkenaan menjadi antara perkara diberi perhatian menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 yang merupakan dokumen dasar penting dalam menentukan corak pembangunan fizikal negeri secara menyeluruh.

“Rancangan itu bukan hanya merangkumi perancangan fizikal tetapi menjadi panduan strategik yang menyentuh aspek ekonomi, sosial, alam sekitar, infrastruktur, pengangkutan, perumahan dan kesejahteraan rakyat termasuk tindakan perlu dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.

Ismail berkata perancangan pembangunan tidak lagi boleh dilaksanakan secara konvensional, tetapi bergerak ke arah pembangunan lebih pintar, berdaya tahan, inklusif dan mampan supaya Negeri Sembilan kekal kompetitif serta mampu memenuhi keperluan generasi masa hadapan.

Beliau berkata kedudukan strategik Negeri Sembilan di Wilayah Tengah turut memberikan kelebihan untuk negeri itu berkembang sebagai tumpuan pelaburan, perindustrian, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti berkualiti.

Pelaksanaan projek berimpak tinggi khususnya di Zon Pembangunan Ekonomi (ZPE) Seremban dan Port Dickson dalam Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan industri, pelaburan dan guna tanah negeri.

“Jumlah projek pelaburan negeri disasar meningkat daripada 295 projek bernilai RM19.1 bilion pada 2025 kepada 2,405 projek menjelang 2040, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka meningkat daripada RM57.01 bilion kepada RM109.12 bilion,” katanya.

Beliau berkata unjuran pertumbuhan ekonomi itu memerlukan perancangan guna tanah yang lebih berkesan bagi memastikan pembangunan industri, kawasan perniagaan dan bandar baharu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kawasan sensitif alam sekitar.

Bagi memastikan pembangunan seimbang, Ismail berkata Tampin, Jempol, Rembau serta Kuala Pilah akan terus diperkasakan sebagai pusat katalis aktiviti pertanian, manakala Jelebu dalam sektor pelancongan biodiversiti dan ekopelancongan.

Dalam aspek teknologi pula, beliau berkata pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) akan diterapkan dalam pengurusan pembangunan dan sistem penyampaian kerajaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.

Ismail yang baru sebulan menerajui kerajaan negeri berkata hala tuju pembangunan negeri berteraskan tiga tunjang utama, iaitu stabil, maju dan makmur, dengan strategi komprehensif bagi menarik pelaburan lebih RM30 bilion serta mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Selain menumpukan kepada kawasan strategik MVV, kerajaan negeri turut memperkasakan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sasaran melatih 20,000 tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri.

Dalam sektor perumahan dan prasarana, Ismail berkata kerajaan negeri menyasarkan penyediaan 25,000 unit kediaman baharu, selain memberikan jaminan tiada kenaikan cukai pintu sepanjang tempoh pentadbiran lima tahun.

Beliau berkata agenda pembangunan turut perlu disertai usaha memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, termasuk mengekalkan status sifar miskin tegar dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial menerusi inisiatif ‘1 DUN 1 Ambulans’ serta penyediaan bantuan perubatan kecemasan.

Selain itu, pakej kebajikan khusus menerusi ‘Skim Salam Sejahtera’ turut diperkenalkan, merangkumi bantuan tunai kelahiran bayi, insentif kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi hingga RM1,500, anugerah RM5,000 kepada graduan Ijazah Kelas Pertama serta insentif perkahwinan RM1,000 kepada golongan belia.

Langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri memastikan pembangunan ekonomi dilaksanakan seiring usaha memelihara warisan adat, menjamin kelestarian alam sekitar, serta memperkukuh kesejahteraan sosial seluruh lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement