SIBU: Suasana keharmonian sebagai ciri tahun arnab diharapkan dapat memperkukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum dan agama di Bumi Kenyalang.

Perpaduan dalam kalangan rakyat diharapkan dapat memperkukuhkan lagi semangat Malaysia yang terjalin sejak tahun 1963.

Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau berharap agar perkara yang tertunggak dalam Perjanjian 1963 (MA63) dapat disempurnakan demi kebaikan semua pihak.

“Saya amat berharap isu tertunggak lain terutamanya sumbangan kewangan kepada Sarawak dan Sabah di bawah 112D akan diwujudkan tidak lama lagi oleh Kerajaan Persekutuan

"Ia supaya negeri-negeri mendapat bahagian yang saksama daripada pulangan hasil daripada kerajaan persekutuan kepada negeri kerajaan," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina pada Sabtu. 

Tambah Abang Jo, semua rakyat harus bergerak ke hadapan bersama-sama untuk mengatasi segala rintangan yang berlaku terutama semasa perubahan ke fasa endemik ini.

Oleh sebab itu, kerajaan Sarawak telah mempunyai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 sebagai hala tuju negara untuk membangunkan ekonomi serta negara yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

"Pandemik telah mengubah cara menjalankan perniagaan dan kita harus dapat mengatasinya.

"Kita harus bergerak ke hadapan supaya kita perlu bersabar dalam menghadapi halangan semasa kita berjalan dan kita tidak seharusnya menyerahkannya kepada nasib untuk mengatasi isu yang memberi kesan kepada kita terutamanya ekonomi.

"Sebab itu kita telah merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 atau ringkasnya PCDS 2030 untuk melakar hala tuju yang jelas ke arah pemulihan untuk membangunkan ekonomi dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” jelasnya.

Ujar Abang Johari, beliau berharap agar sifat arnab dapat menjadi rujukan yang berguna kepada semua rakyat dalam menempuhi tahun 2023 agar kita akan tetap menjadi yang terunggul dalam apa jua keadaan.

“Saya juga mendengar bahawa arnab melambangkan kemaafan, keanggunan dan kecantikan serta kesabaran dan kasih sayang mengikut astrologi Cina.

"Saya sangat berharap sifat arnab ini dapat menjadi rujukan yang berguna untuk kita menjalani tahun baru 2023 agar kita sentiasa berada di atas sebarang situasi buruk yang mungkin menimpa kita,” katanya lagi.