Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah pelantikan Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Beliau secara rasmi memegang jawatan itu selepas Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng tamat perkhidmatannya pada Jumaat.

Istiadat mengangkat sumpah Yang DiPertua Negeri Sarawak bermula jam 10.30 pagi.


Ia dimulakan dengan pendaftar istiadat mengadap Yang Dipertua Negeri untuk perkenan memulakan istiadat.

Kemudian, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membaca surat pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang telah diperkenan oleh Yang DiPertuan agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Abdul Taib kemudian mengangkat sumpah pelantikan jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh.

Bekas Ketua Menteri Sarawak itu pada Jumaat menerima watikah pelantikan Yang DiPertua Sarawak daripada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum itu menerima hormat diraja di Dataran Perbarisan di luar Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Beliau hadir bersama isteri, Puan Sri Raghad Kurdi Taib.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama daripada PDA Batalion Batu Kawa dan Pancaragam Polis Diraja Malaysia, (PDRM).

Selepas lagu Ibu Pertiwiku dan Negaraku dimainkan, Abdul Taib memeriksa kawalan kehormatan utama dengan diiringi pegawai pemerintah perbarisan.

Beliau kemudian menerima hormat diraja sebelum lagu negaraku dimainkan di Dataran Perbarisan.