ORANG ramai yang berada berhampiran Tasik Kenyir tidak perlu panik dengan pengeluaran air melalui alur limpah Empangan Tasik Kenyir kerana ia adalah operasi biasa bagi sesebuah empangan.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti berkata, situasi berkenaan bukanlah pertama kali berlaku malah kali ke-11 sejak Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud beroperasi pada 1985.

“Apabila air empangan di stesen itu melepasi paras 145 meter, ia akan melimpah melalui alur limpah tidak berpintu dan ia tiada kaitan dengan pembukaan pintu empangan kerana tiada pintu di empangan tersebut.

“Empangan tersebut mampu menampung air tasik umpama tangki takungan yang sangat besar dan berfungsi sebagai tebatan banjir,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, faktor utama menyumbang kepada peningkatan jumlah air empangan adalah taburan hujan yang luar biasa tinggi, berjumlah 400 milimeter sejak 12 jam lalu.

“Kesemua empat unit penjanaan di stesen jana elektrik itu beroperasi pada kapasiti penuh 400MW bagi memastikan paras air tasik dan integriti empangan dalam keadaan terkawal,” ujarnya.

Tasik Kenyir yang berkeluasan 370 kilometer persegi itu mula dibina pada tahun 1978.

Kawasan tadahannya berkeluasan 1,260 kilometer persegi merangkumi tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.