KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memulangkan semula tambang perjalanan secara penuh, kepada penumpang yang tidak dapat meneruskan perjalanan akibat gangguan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di antara Kamunting dan Bukit Merah pada 9 April.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penumpang yang terkesan, boleh menghantar permohonan ke e-mel [email protected].

"Kesulitan ini amat kami kesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh.

"Bagi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist di talian 010-3687829 atau e-mel kepada [email protected]," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini media tempatan melaporkan perkhidmatan kemudahan awam tersebut terganggu selama hampir empat jam pada Selasa.

KTMB dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, ETS tersebut mengalami gangguan akibat talian elektrik yang terputus di KM79.50 di antara Kamunting dan Bukit Merah.

Menurut kenyataan itu gangguan pada 5.30 petang, telah menyebabkan perkhidmatan ETS EP9176 dan EP9179 mengalami kelewatan daripada jadual asal melebihi dua jam, sebelum penumpang dipindahkan ke set ETS bantuan pada 9.15 malam kemudiannya.

-- BERNAMA