Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan audit forensik dan siasatan polis berhubung isu tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jalan Semarak, di sini akan tetap diteruskan walaupun Felda telah mendapat kembali hak milik tanah itu.

"Alhamdulillah, tanah Jalan Semarak Felda telah dikembalikan tanpa sebarang kos. Walaupun begitu, saya tegaskan bahawa audit forensik dan siasatan polis akan tetap diteruskan," kata perdana menteri di laman Twitternya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan Felda telah mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak daripada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), tanpa melibatkan apa-apa kos.


Pemilikan semula hak milik kesemua 16 plot tanah, yang melibatkan empat transaksi jual beli dilakukan pada Disember 2015 dan November 2016, diperoleh menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB di ibu pejabat Felda.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya. -- Bernama

BACA: Isu tanah Felda - Isa Samad hadir beri keterangan di Bukit Aman

BACA: Felda ditipu: Jual tanah, tapi tak dapat duit

BACA: 'Saya terpegun begitu mudah untuk pindah milik tanah dalam institusi seperti Felda' - Shahrir