HULU SELANGOR: Seramai 29 kanak-kanak disahkan sebagai antara 94 mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm Jalan Batang Kali - Gohtong di sini, Jumaat lalu.

Namun demikian, daripada angka itu tidak dapat dipastikan jumlah sebenar kanak-kanak yang terkorban dalam insiden itu.

Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), paling ramai mangsa dilaporkan berada di Sektor A (hill view) ketika kejadian iaitu 42 orang. Daripada jumlah itu, 17 adalah kanak-kanak.

Sementara itu, Sektor B (farm view) pula merekodkan 12 mangsa termasuk tiga kanak-kanak, manakala  17 dewasa dan sembilan kanak-kanak dilaporkan berada di Sektor C (riverside).

Sektor D pula menempatkan 14 pekerja ladang  dan kesemuanya mereka dilaporkan selamat.

Ikuti perkembangan  tragedi tanah runtuh Batang Kali DI SINI!

Menurut data tersebut, 21 mayat ditemukan di sekitar lokasi pencarian Sektor A dan Sektor B., manakala tiga mayat termasuk dua beranak ditemukan di Sektor C.

Pada sidang media pagi tadi, Penolong Pengarah JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tertumpu kepada timbunan tanah dan kenyataan daripada saksi di Sektor C dan kawasan sekitar.

Selain itu, pasukan ‘sweeper’ juga akan digerakkan ke kawasan ‘ground zero’ sehingga Sungai Kendondong dengan jarak tiga hingga empat kilometer, bagi mencari mangsa hang kemungkinan dihanyut.