HULU SELANGOR: Mayat mangsa ke-25 yang juga kanak-kanak perempuan yang ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali dipercayai berusia antara enam hingga 10 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, mangsa dikesan di sektor C.

"Kita memberi fokus sektor C (river side) setakat hari keenam semalam, pasukan SAR berjaya menemui satu mangsa tertimbus, mangsa ini dipercayai seorang kanak kanak perempuan anggaran berumur 6-10 tahun.

"Semasa dijumpai, mangsa berpakaian seluar dan baju berwarna pink, seluar tidur saya difahamkan pihak bomba kedalaman 5 meter daripada aras tanah," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Tambah Suffian, turut ditemui, empat lagi beg pakaian dipercayai milik mangsa, namun tiada identiti ditemui.

"Setakat ini mayat telah dihantar ke HSB untuk bedah siasat, turut dijumpai empat buah beg pakaian dan komputer riba, namun tiada pengenalan diri dijumpai.

"Hari ini saya dapat makluman daripada JUPEM keadaan tanah di lokasi kejadian stabil, kita anggarkan ada perkembangan positif hari ini untuk kita teruskan tugasan mengesan mangsa hilang," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian di sini pada Rabu.

Operasi mencari dan menyelamat masuk hari ke tujuh melibatkan lebih 100 pegawai dan anggota pelbagai agensi memulakan pencarian jam 8 pagi tadi.

Turut membantu usaha pencarian, 11 buah jengkaut tanah dan sembilan ekor anjing pengesan K-9 pelbagai agensi.