BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya gagal menemui sebarang mangsa setakat jam 6.30 petang Ahad.

Menurut Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, bagaimanapun, operasi diteruskan sehingga jam 4 pagi, namun, bergantung kepada cuaca.

"Bagi tempoh hari ketiga operasi mencari dan menyelamat setakat ini telah kita laksanakan pagi tadi sehingga jam 6.30 petang.

"Usaha giat ktia lakukan daripada lima pasukan berada di lapangan diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) masih gagal menemui mangsa hilang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian pada petang Ahad.

Mengulas lanjut, tambah Suffian, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang membantu dalam melaksanakan pencarian yang masuk hari ketiga itu.

"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan jabatan terlibat dalam menguruskan bencana kita hari ini.

"Saya selaku Komander Operasi Pusat Kawalan di tempat kejadian, sebenarnya banyak dibantu pasukan sahabat kita, seperti mana dinyatakan dan digariskan dalam MKN 20," katanya lagi.

Sehingga kini, sembilan mangsa masih hilang di lokasi kejadian.