BERUAS: Hujan lebat lebih sejam malam tadi menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh di Kampung Buruk Bakul, dekat sini.

Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan telah menjejaskan sebuah surau dan dewan, di samping lima buah rumah.

Menurut kenyataan APM, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 9.20 malam.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan air yang mengalir dari kawasan bukit berhampiran.

“Seramai enam anggota bergegas ke lokasi di Kampung Buruk Bakul untuk melakukan pemantauan semasa di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Foto APM Manjung

Menurut APM lagi, hasil pemantauan mendapati, tembok batu surau pecah, dipercayai berpunca daripada air yang turun dari bukit berhampiran.

Di samping itu, katanya, lima buah rumah turut dimasuki air pada paras buku lalu tetapi telah surut sepenuhnya.

Bagaimanapun, ujar APM, pihaknya telah menasihati penduduk kampung untuk mengambil langkah berjaga-jaga jika hujan masih berterusan.