KUALA LUMPUR : Isu pendapatan bukan mudah untuk diselesaikan memandangkan ia isu universal yang dialami seluruh dunia ketika ini dan sukar untuk ditangani.

Namun, bagi Ketua Jabatan Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagi membentuk sebuah masyarakat yang bertamadun, isu pendidikan perlu diberi fokus ketika ini.

Jelasnya, selain dapat meningkatan pendapatan individu melalui pendidikan yang baik, ia dapat melahirkan tenaga buruh yang lebih berkualiti.

"Dari sudut pendidikan memang jelas sekali terdapat banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilaksanakan untuk capai satu tahap pendapatan yang lebih baik dan lebih bermaruah.

"Ini bermakna aspek pendidikan perlu diberi penekanan supaya dapat hasilkan tenga buruh yang mempunyai keyakinan diri, tahap pengetahuan tinggi, berinovasi dan mempunyai kreativiti.

"Ia merupakan suatu pakej yang lengkap supaya para majikan ada minat nak ambil pekerja yang berpotensi," ujarnya menerusi program Pantau Kerajaan Baharu pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terhadap pertumbuhan produktiviti buruh setahun yang menyasarkan RM57,882 dan purata pendapatan bulanan isi rumah, akhir tempoh bagi RMK12 adalah RM10,065.

Malah jelasnya, kebergantungan negara ketika ini terhadap buruh asing dengan tahap kemahiran rendah juga menunjukkan terdapat masalah struktur dalam ekonomi negara.

Jelasnya, permasalahan ini perlu diteliti walaupun sukar untuk mengenal pasti punca.

"Kita perlu lihat dari soal gaji, ini satu perkara yang tidak boleh dipaksa. Kalau tiba-tiba nak naik gaji, ia bakal menyebabkan kejutan terhadap ekonomi negara.

"Memang benar ada masalah kecekapan dalam pasaran buruh dan dengan penetapan paras gaji minimum dapat sedikit sebanyak menyelesaikan isu pendapatan.

"Namun itu hanyalah satu cara, selebihnya untuk mewujudkan peluang lebih baik untuk rakyat dengan membentuk masa depan lebih baik termasuk dari segi pekerjaan dan perniagaan," ujarnya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkepentingan memberikan penekanan terhadap isu pendidikan untuk melahirkan sebuah keadaan yang lebih baik termasuk sikap pekerja yang lebih proaktif.