Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz melahirkan rasa tidak faham dengan keputusan kerajaan hari ini yang mengumumkan untuk menangguhkan pengambilan pekerja asing, termasuk dari Bangladesh.

Dalam status yang dimuat naik ke akaun Facebook miliknya, Rafidah berkata, seharusnya setiap cadangan dan dasar yang diutarakan, dibincangkan dan diperhalusi dari segenap aspek terlebih dahulu, sebelum diumumkan kepada rakyat.

Beliau menekankan kepentingan membuat kajian secara menyeluruh tentang satu-satu cadangan yang dikemukakan, selain mengambil kira pendapat segenap lapisan rakyat.

"Contohnya, kesan ekonomi, sosial dan sekuriti dan lain-lain implikasi langsung dan tidak langsung perlu difikirkan terlebih dahulu," tulisnya.

Tambah Rafidah, apa yang terjadi kini boleh membuatkan rakyat keliru, sekaligus memberikan imej yang kurang baik terhadap kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tengah hari tadi mengumumkan penangguhan tersebut sehinggalah terdapatnya keperluan untuk mendapatkan pekerja asing.

Penangguhan itu juga membolehkan kerajaan mengkaji pelbagai perkara terutama melibatkan pembayaran levi dua tahap.

Pengambilan pekerja Bangladesh itu adalah untuk memenuhi keperluan industri dalam beberapa sektor.