KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap penangguhan pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) memberi ruang kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendengar keluh-kesah rakyat dan memberi maklum balas terhadap sebarang input yang diberikan.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata perkara itu penting bagi memastikan perancangan dasar Kuala Lumpur itu mengambil kira suara pelbagai pihak termasuk persatuan penduduk di kawasan bandar raya berkenaan.

"Jadi ini penting untuk memastikan pembangunan yang mampan dan tidak ada komuniti yang merasakan suara mereka tidak diendahkan kerana sebelum ini saya rasa warga Kuala Lumpur rasa mereka tidak terlibat dalam proses perbincangan pembangunan Kuala Lumpur.

"Saya juga rasa ada kewajaran DBKL memberi maklum balas kepada persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) (berkenaan cadangan kerana ada) yang memaklumkan kepada saya mereka banyak bagi pandangan tetapi tidak ada maklum balas," katanya selepas menyertai persiapan Program Bubur Lambuk Yayasan TM di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini hari ini.

Sebagai Ahli Parlimen di kawasan Kuala Lumpur, Fahmi berkata beliau akan meneliti pelan tersebut dan memastikan ia dibangunkan dengan mengambil kira unsur manusiawi selaras dengan prinsip MADANI seperti yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi berkata proses libat urus melibatkan semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur telah berjalan dan antara perkara yang menjadi senarai hajat beliau adalah untuk mengekalkan beberapa kawasan residensi agar tidak dijadikan kawasan komersial.

Semalam, Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa PSKL 2040 akan ditangguh hingga 31 Mei bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus oleh DBKL.

Melalui kenyataan itu, Anwar memaklumkan beliau mengambil perhatian pandangan yang berkehendakkan supaya pewartaan dokumen tersebut ditangguh untuk memberi peluang lebih luas kepada pihak berkepentingan lain bagi menyatakan pendapat terhadap pelan pemajuan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan DBKL dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu menyelesaikan isu kerosakan lif di kawasan perumahan swasta yang disifatkannya kronik.

"Ada setengah kawasan PPR mungkin perlu tindakan lebih pantas dalam pemulihan lif dan saya lebih risau bukan hanya kawasan PPR tetapi ada juga flat kos rendah yang ada masalah isu lif dan ini sedikit luar bidang kuasa DBKL kerana ia swasta.

"Tak payah pergi jauh, di Taman Bukit Angkasa hadapi masalah yang sama dari empat lif hanya satu berfungsi jadi saya akan cuba bincang dengan pihak DBKL dan KPKT bagaimana kita boleh bantu kawasan perumahan yang bukan di bawah jagaan DBKL," katanya.

-- BERNAMA