Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mahu agar isu pendedahan Polis Cawangan Khas (SB) bahawa 80 peratus kakitangan keselamatan negara dan pegawai penguatkuasa di sempadan Malaysia terbabit rasuah, dirujuk kepada Pengarah Polis Cawangan Khas sendiri.

Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Tanya pengarah SB sendiri. Telefon dia dan tanya sendiri, dia ada butir-butirnya,” katanya kepada pemberita.



Pada Rabu, sebuah akhbar tempatan mendedahkan peratusan mengejut hasil laporan SB berhubung kakitangan keselamatan dan pegawai penguatkuasaan negara di sempadan Malaysia yang terlibat dengan rasuah.

Pegawai tersebut didakwa menerima bayaran tetap daripada sindiket yang menguruskan dadah, senjata api dan penyeludupan manusia.

Sumber itu berkata, SB menghantar maklumat yang dikumpulkan kepada agensi terlibat namun tiada tindakan diambil.

Khalid ditemui selepas majlis penyerahan bendera Sang Saka Biru kepada kontinjen PDRM yang menyertai kejohanan 'Police and Fire Games 2015' di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini Khamis.