Kerajaan akan menarik balik langkah pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan bahan binaan jika semua pemaju perumahan tidak menurunkan harga rumah, ujar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jelasnya, setiap pemaju perumahan perlu berbuat demikian memandangkan langkah pengecualian SST berkenaan adalah lebih baik berbanding pelaksanaan GST sebelum ini.

“Saya masih menunggu maklum balas Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), memandangkan kerajaan mengambil langkah sangat positif iaitu mengecualikan SST daripada dikenakan cukai enam peratus ke atas perkhidmatan berkenaan. Sebelum ini semua dikenakan bayaran pembinaan termasuk juga sewa.

“Dulu anda kena bayar sewa GST enam peratus sekarang tak perlu bayar. Dulu kena bayar caj elektrik, sekarang tak perlu bayar untuk komersial dan industri. Kita harap balasan pengurangan harga rumah. Kalau tidak saya terpaksa menimbang semula pengecualian yang kita berikan kerana kita nak lihat harga rumah turun,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah anjuran REHDA Institute di sini hari ini.

Tambahnya, REHDA sedang melakukan kajian kebarangkalian penurunan harga rumah berkenaan.

“Kerajaan nak lihat ialah kita nak tumpukan kepada rumah kediaman. Kita nak lihat penurunan harga rumah, kita tidak berminat tambahan kos itu ini, tidak bermakna. Apa yang kita nak ialah harga rumah turun,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau mahu tahu maklum balas daripada hasil kajian REHDA berkenaan termasuk berapa peratus harga rumah akan dapat dikurangkan.

“Hasil kajian itu diharap dapat diserahkan kepada kementerian saya sebelum pembentangan Bajet 2019 nanti,” ujarnya.

Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan akan dikecualikan daripada SST.