KUALA LUMPUR:Seramai 34 Ahli Parlimen dari pembangkang menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Kabinet Perikatan Nasional (PN) menarik balik perintah kuarantin tiga hari bagi menteri yang telah dimasukkan dalam warta Persekutuan.

Menurut kesemua Ahli Parlimen itu, Kabinet PN juga seharusnya mengadakan perbincangan segera dengan teliti berhubung isu kuarantin yang perlu dilalui oleh rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan membuat keputusan yang adil dan sama rata.

Dalam kenyataan media yang diedarkan pada Rabu, kesemua Ahli Parlimen berkenaan juga meminta kerajaan agar membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang sewajarnya.

“Keputusan yang mengikut data saintifik dan bukan untuk memudahkan gaya hidup menteri. Wabak COVID-19 adalah soal hidup atau mati yang perlu ditangani dengan serius,” kata Ahli-Ahli Parlimen itu lagi.

BACA: COVID-19: Tempoh pemerhatian menteri pulang dari luar negara dikurangkan kepada 3 hari

Kenyataan itu turut menegaskan, Dr Adham agar tidak boleh mengeluarkan perintah yang memberi kelonggaran kepada menteri Kabinet dalam Warta Persekutuan dan sesuka hati berkata kelonggaran kuarantin tiga hari itu hanya diberi kepada menteri yang benar-benar mengikut "gelembung program perjalanan" (itinerary bubble) tetapi bukan kepada menteri yang lain.

“Ini bermaksud wujudnya kuarantin “dwi-standard” di kalangan menteri yang membuat lawatan rasmi ke luar negara.

“Selepas itu, beliau berkata kuarantin tiga hari akan dibuka kepada orang ramai kerana kerajaan ingin membuka ekonomi.

“Tidak ada ketekalan (consistency) dalam keputusan beliau, malah menimbulkan kekeliruan dalam negara,” tegas 34 Ahli Pembangkang itu lagi.

Seruan itu dibuat selepas kenyataan Dr Adham mencetuskan kekeliruan dan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk oleh pakar penyakit berjangkit seperti Profesor Dato Adeeba Kamarulzaman dan Master, Academy of Medicine Malaysia, Dato Profesor Dr Rosmawati Mohamed.

Selepas teruk dikritik, Dr Adham menambah lagi kekeliruan dengan menyatakan bahawa kuarantin tiga hari itu mungkin dibuka kepada ahli perniagaan dan orang awam tidak lama lagi.

Sehubungan itu, kesemua Ahli Parlimen berkenaan menuntut Menteri Kesihatan menjelaskan apakah rasional dan kriteria sebenar untuk rakyat Malaysia, tidak kira sama ada menteri atau rakyat biasa yang pulang dari luar negara berhubung isu kuarantin dan kawalan COVID-19?

Berikut senarai 34 Ahli Parlimen dari pembangkang yang menyeru supaya pihak kerajaan menarik balik perintah kuarantin tiga hari bagi menteri Kabinet:

1. Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang)

2. Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar)

3. Mohd Azis Jamman (Ahli Parlimen Sepanggar)

4. Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut)

5. Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri)

6. Baru Bian (Ahli Parlimen Selangau)

7. Datuk Rozman Isli (Ahli Parlimen Labuan)

8. Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai)

9. Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu)

10. Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)

11. Isnaraissah Munirah Majilis (Ahli Parlimen Kota Belud)

12. Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena)

13. Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)

14. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Ahli Parlimen Raub)

15. Maria Chin Abdullah (Ahli Parlimen Petaling Jaya)

16. Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang)

17. Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh)

18. Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor)

19. Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng)

20. Kasthuriraani Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan)

21. P. Prabakaran (Ahli Parlimen Batu)

22. M. Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat)

23. Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin)

24. Sivarasa Rasiah (Ahli Parlimen Sungai Buloh)

25. Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu)

26. Steven Choong (Ahli Parlimen Tebrau)

27. Dr Maszlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam)

28. Chan Ming Kai (Ahli Parlimen Alor Setar)

29. Dr Azman Ismail (Ahli Parlimen Kuala Kedah)

30. Thomas Su (Ahli Parlimen Kampar)

31. Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang)

32. Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)

33. Datuk Christina Liew (Ahli Parlimen Tawau)

34. Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Ahli Parlimen Merbok)