Proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu perlu lebih kreatif dan menyeronokkan agar pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mampu meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Kebangsaan itu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ini bagi membolehkan pelajar di sekolah-sekolah itu lebih menjiwai dan menghayati Bahasa Melayu, bukannya menganggap ia satu beban bagi menghadapi peperiksaan.

“Sebab itu saya cadang tayangkan cerita P. Ramlee dan Upin & Upin, kerana ia menggunakan Bahasa Melayu yang betul, di samping mengetengahkan konsep perpaduan.

“Juga, perbanyakkan lagi program-program kebudayaan, agar pelajar lebih santai dan mereka akan belajar secara natural, bukan untuk menghadapi peperiksaan semata-mata.

"Ini sekali gus mengurangkan rasa beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kebangsaan Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC di ibu Negara, pada Selasa.

Sementara itu, dalam usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan mengeratkan lagi perpaduan, kementerian turut menyeru semua sekolah di negara ini untuk mengadakan Program Sekolah Berkembar iaitu integrasi antara sekolah melalui pertukaran pelajar dan guru.

“Kita galakkan sekolah lakukan ‘engagement’ antara Sekolah Kebangsaan dan SJK, Sekolah Agama dengan Sekolah Antarabangsa, lakukan pertukaran murid dan guru.

“Saya tidak mahu paksa dalam perkara ini, tetapi saya menyeru banyakkan program seperti ini dan banyakkan program makan bersama, kerana ia akan mengeratkan lagi perpaduan,” jelasnya.