MCA hari ini memutuskan Pengerusi Jawatankuasa Urusetia Kebangsaan MCA Datuk Tee Siew Kong dirujuk kepada Lembaga Disiplin MCA dan diarahkan untuk bercuti.

"Tee tidak akan menghadiri mesyuarat MCA di peringkat pusat mahupun bahagian.

"Tempoh cuti Tee juga diputuskan oleh lembaga disiplin parti," jelas Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek di ibu pejabat parti berkenaan.

Minggu lalu Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah menitahkan Datuk Tee Siew Kong dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Johor.

Pada sidang media itu, Soi Lek menegaskan bahawa MCA tetap tidak akan mengisi sebarang jawatan dalam kerajaan berikutan prestasi yang kurang memuaskan dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

"Kami tetap berpegang teguh dengan resolusi yang telah diluluskan pada tahun 2011 yang mana MCA tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika MCA tidak menunjukkan prestasi yang lebih baik pada PRU13," jelas Soi Lek.

Soi Lek juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa (EGM) namun menggambarkan tiada cadangan untuk berbuat demikian dalam masa terdekat.

Berhubung khabar angin mendakwa MCA dalam usaha menjual aset parti itu, Soi Lek menjelaskan "dakwaan itu merupakan satu pembohongan. Ini merupakan satu fitnah dan tidak benar.

"MCA akan memastikan aset tetap dipelihara dan tidak boleh dijual sewenang-wenangnya. Penjualan dan pembelian aset MCA perlu mendapat kelulusan dua pertiga ahli jawatankuasa pusat," tambah Soi Lek.

Presiden kesembilan parti itu turut mengutuk usaha pihak yang memboikot produk atau perniagaan kaum lain.

"Kita tidak bersetuju mana-mana kaum memboikot perniagaan yang dianjurkan kaum lain. Ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat bagi Malaysia," ujar Soi Lek.

Minggu lalu, MalaysiaKini melaporkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa agar gerakan memboikot perniagaan dan produk terkenal milik pengusaha Cina dijalankan kerana entiti perniagaan itu telah memecahkan perpaduan dalam negara.

Perniagaan yang mahu diboikot termasuk dua rangkaian kedai makan, rangkaian pasar raya serta jenama roti dan tepung terkenal.