Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan rasa simpati dan sedih dengan berita kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan berharap agar keluarga Allahyarham bersabar dengan ujian tersebut.

Tengku Abdullah juga turut meminta semua pihak khususnya golongan muda agar dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian berkenaan.

Titah baginda, mana-mana pihak tidak kira sesiapa pun, tidak seharusnya mengambil tindakan melulu apatah lagi ia melibatkan nyawa seseorang.

“Ini harus jadi satu pelajaran bagi kita semua seterusnya anak muda supaya kita jangan cepat membuat tindakan-tindakan yang boleh mengakibatkan nyawa sesaorang itu dan ataupun mana-mana tindakan yang agak begitu agresif dan mungkin mendatangkan musibah kepada mereka-mereka yang terlibat. Kita cuba lah elak daripada kejadian begini berlaku,” titah Tengku Abdullah.

Muhammad Adib, 24, tahun yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam tadi

“Saya bagi pihak keluarga berasa amat bersimpati dan bersedih juga dengan khabar berita Allahyarham Adib telah pun meninggal dan suatu ketika berita agak begitu positif nampak ada bertambah baik tetapi hari ini kita dikejutkan dengan berita kematian. Namun saya harap keluarga Adib ni harus bersabarlah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Serahan Zakat Perniagaan Badan-badan Korporat di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, Pahang pada Selasa.