KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching akan turut sama memastikan kerajaan terus menghormati kebebasan media dan mengiktiraf peranan penting yang dimainkan pengamal media di negara ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata senada dengan aspirasi yang dizahirkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, beliau sebagai Timbalan Menteri akan membantu memperincikan penubuhan sebuah Majlis Media bagi memastikan industri itu dapat dikawal selia dan kekal bebas daripada pengaruh politik.

"Kami (beliau dan Fahmi) berharap untuk mewujudkan satu Majlis Media yang profesional supaya boleh kawal selia industri media dan pastikan tidak wujud sebarang gangguan berniat politik.

"Saya bersama Menteri (Fahmi) adalah kawan lama. Saya berhasrat membantu beliau memastikan kebebasan media terus diperkasakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri Istana Negara, di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Senarai Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan diumum

Terdahulu, Fahmi dilaporkan berkata beliau perlu mendapatkan perincian berhubung cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia daripada pemain industri media khususnya persatuan wartawan, selain memberi jaminan kebebasan media akan diberi keutamaan termasuk aspek kebajikan pengamal media di negara ini.

Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media di seluruh negara.

Dalam pada itu, Teo berkata dalam masa terdekat beliau juga akan memastikan ancaman akibat penularan berita palsu tidak terus berleluasa.

"Berita palsu adalah ancaman yang dihadapi di seluruh dunia. Semua pihak perlu memainkan peranan mereka. Saya sebagai Timbalan Menteri akan pastikan ancaman itu tidak mengugat demokrasi negara," katanya.

Teo adalah calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding kerusi Parlimen Kulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 36,023 undi.

Beliau pertama kali menjadi Ahli Parlimen apabila memenangi kerusi Parlimen Serdang pada 2008, kemudiannya bertanding di Kulai pada 2013 dan berjaya mempertahankan kerusi itu hingga hari ini.

Anak jati Batu Pahat, Johor, berusia 41 tahun itu merupakan seorang individu berpengaruh dalam DAP dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP pada 2008 hingga 2011, Setiausaha Antarabangsa DAP pada 2017, sebelum dilantik menjadi Setiausaha Publisiti Kebangsaan parti itu tahun ini.

Beliau juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran PH pada Julai 2018 hingga Feb 2020.

-- BERNAMA