KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang terkandas di Jakarta susulan gangguan operasi penerbangan akibat letusan Gunung Anak Krakatau memilih untuk “tunggu dan lihat” perkembangan keadaan semasa sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perjalanan pulang.
Jurugambar, Mohamad Anwar Mohd Yusli berkata, beliau sepatutnya pulang ke Malaysia semalam, namun penerbangannya ditangguhkan ke 7 pagi hari ini sebelum turut dibatalkan.
“Kita lanjutkan (tempoh di Jakarta) satu minggu kerana setakat ini kita pun tak tahu bila keadaan kembali pulih,” katanya dalam panggilan telefon bersama Astro AWANI, pada Isnin.
Menurutnya, pilihan untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur melalui jalan darat dari Jakarta ke Surabaya yang mengambil masa kira-kira lapan jam juga tidak begitu berbaloi berikutan kenaikan harga sehingga 100 peratus.
Malah tambang penerbangan juga meningkat, termasuk tiket penerbangan dari Surabaya ke Kuala Lumpur yang kini mencecah RM8,000.
Mohamad Anwar berkata keadaan di Jakarta kini secara umumnya terkawal, dengan trafik lebih lancar berbanding kebiasaannya, dipercayai kerana ramai memilih untuk berada di dalam rumah.
“Cuaca tak begitu baik kerana berdebu (abu dari letusan). Ramai yang sudah mula pakai pelitup muka dan pelitup muka pun semakin susah nak dapat,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, pencemaran udara turut menimbulkan kebimbangan kerana kesannya dapat dirasai dalam tempoh singkat.
“Dalam masa 30 minit sahaja, mata sudah mula pedih dan tekak sakit. Kami sentiasa memakai pelitup muka kerana keadaan pencemaran di Jakarta agak membimbangkan. Debu yang berterbangan itu bukan debu biasa," ceritanya lagi.
Mohamad Anwar berkata, kesihatan isterinya yang sedang hamil turut dipantau, selain pergerakan ke luar dihadkan.
Mengulas keadaan rakyat Malaysia yang terkandas, beliau berkata komunikasi antara mereka banyak dilakukan menerusi media sosial selain dengan pihak kedutaan.
Katanya, terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas dan mereka sentiasa berhubung mendapatkan perkembangan terkini berhubung keadaan penerbangan.
Tambahnya lagi, kebanyakan mereka kini sudah lebih tenang dan tidak lagi panik seperti semalam.
“Rakyat Malaysia yang saya temui semuanya sudah reda dan tidak lagi panik,” katanya.