Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Nahas helikopter Ulu Baram: Operasi Doktor Udara di Sarawak digantung sementara - Dzulkefly

BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak digantung sementara bagi membolehkan siasatan menyeluruh.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak digantung sementara bagi membolehkan siasatan menyeluruh serta semakan terhadap aspek keselamatan dan prosedur operasi susulan nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Selasa lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pihak berkaitan menilai semula mekanisme keselamatan dan operasi perkhidmatan berkenaan.

Menurut beliau, walaupun operasi FDS dihentikan sementara, Perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan diteruskan menerusi kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Semua operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan serta operasi dijalankan oleh pihak yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata KKM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneliti kemungkinan penggunaan aset ketenteraan untuk memindahkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian.

Beliau menegaskan langkah itu penting bagi memastikan akses kepada rawatan kecemasan, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak, tidak terjejas sepanjang tempoh penggantungan operasi FDS.

Dalam kejadian Selasa, juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan maut selepas helikopter FDS yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Sarawak.

 

Must Watch Video

Advertisement