[TERKINI] PRN Sabah: Tanah kerajaan sekitar Kota Kinabalu akan dijadikan rizab kampung - Hajiji
![[TERKINI] PRN Sabah: Tanah kerajaan sekitar Kota Kinabalu akan dijadikan rizab kampung - Hajiji [TERKINI] PRN Sabah: Tanah kerajaan sekitar Kota Kinabalu akan dijadikan rizab kampung - Hajiji](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71764203829_HajijiNoor.jpg)
Hajiji berucap pada kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN N.16 Karambunai dan DUN N.17 Darau di Kampung Darau, Kota Kinabalu, 26 Nov 2025. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Kerajaan telah memutuskan untuk menjadikan tanah kerajaan di sekitar bandar raya ini khususnya di kawasan Darau dan Karambunai dijadikan sebagai rizab kampung, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Ringkasan AI
- Tanah kerajaan di Darau dan Karambunai akan dijadikan rizab kampung untuk penduduk setempat.
- Keputusan ini dibuat bagi mengelakkan penghijrahan paksa penduduk setinggan.
- Hajiji menyeru pengundi di Karambunai dan Darau undi calon GRS untuk memastikan pembangunan berjalan lancar.
"Jika perkampungan itu telah diwartakan, maka penduduk tidak perlu risau untuk dihalau atau dipindahkan," katanya berucap pada majlis Kempen Rumah Kita, Kita Jaga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Darau di sini malam tadi.
Turut hadir calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi dan calon GRS DUN Karambunai Datuk Arshad Idris.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata Jabatan Tanah dan Ukur sedang menjalankan kerja-kerja penyukatan tanah yang telah dikenal pasti.
"Kita juga merancang membina lebih banyak perumahan untuk rakyat khususnya di kawasan pinggir bandar seperti Karambunai dan Darau," katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata untuk memastikan perancangan berkenaan berjalan lancar, pengundi di kawasan Karambunai dan Darau perlu memenangkan calon GRS.
"Pada 29 Nov ini (Sabtu) jangan lupa undi calon GRS agar kita boleh kembali menjadi kerajaan dan dapat meneruskan semua usaha kita untuk membangunkan Sabah untuk rakyat," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada Sabtu ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

