KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh dan tanpa kompromi, dengan setiap pihak yang didapati bersalah dikenakan tindakan sewajarnya.
Seri Paduka Baginda menegaskan, siasatan perlu diteruskan "sehingga ke lubang cacing" bagi memastikan tiada pihak terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah, selain mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.
"Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam di Istana Bukit Tunku, di sini, pada Sabtu.
Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan taklimat mengenai Laporan Siasatan RCI TH, selain perkembangan semasa berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan kementerian dan agensi berkaitan supaya memperkukuh kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
Titah baginda, langkah berkenaan penting bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Sultan Ibrahim turut menegaskan aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu terus diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.