BATU PAHAT: Seorang warga Palestin Dr Mohamad Darwish terus berharap dan mendoakan keselamatan ibu bapanya di Gaza, meskipun sudah terputus hubungan dan komunikasi dengan mereka sejak seminggu lepas.

Lelaki berusia 36 tahun itu berkata kali terakhir mereka berhubung pada minggu lepas iaitu sebelum bekalan elektrik terputus di kawasan itu dan hingga kini nasib kedua orang tuanya masih tidak dapat diketahui.

Dia juga menyifatkan serangan rejim zionis kali ini adalah yang paling teruk hingga mengakibatkan kemusnahan kepada kemudahan asas termasuk hospital dan talian Internet.

"Sebelum ini walaupun ada berlaku serangan, tidak sampai terputus hubungan komunikasi dan kami masih boleh mengetahui keadaan di sana (Palestin). Berbeza kali ini apabila sudah seminggu saya tidak menerima perkhabaran dan mengetahui keadaan ibu bapa serta saudara mara.

"Saya amat bimbang dengan keadaan mereka, namun rakan-rakan saya di sini termasuk rakyat Malaysia sentiasa memberikan semangat kepada saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui Perhimpunan Solidariti Palestin di Stadium Batu Pahat di sini hari ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata dia mengharapkan sokongan terutamanya untuk kekuatan mental daripada penduduk Malaysia yang selama ini telah menganggap warga Palestin sebagai keluarga mereka.

"Saya berterima kasih kepada rakyat dan kerajaan Malaysia atas sokongan serta keprihatinan mereka," kata pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru, yang telah menetap di Malaysia lebih 10 tahun.

Sementara itu, Pengurus Aman Palestin Cawangan Batu Pahat Mohamad Shahrulnizam Noor Mohd Ali berkata, perhimpunan tersebut merupakan yang pertama diadakan di Johor dan kedua di negara ini oleh pihak Aman Palestin dengan kerjasama Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), setelah minggu lepas dianjurkan di Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah pada hari ini kita telah berjaya menghimpunkan kira-kira 1,500 penduduk Batu Pahat. Selain mengadakan demontrasi menentang keganasan Israel, kita juga mengadakan kutipan dana untuk bantuan kepada penduduk Palestin," katanya.

Turut hadir dalam perhimpunan itu Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram Gan Peck Cheng dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong Dr. Aswad Ithnin.

-- BERNAMA