PONTIAN: Kementerian Kewangan tidak menerima sebarang cadangan berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam sesi dialog kementerian itu bersama kumpulan fokus.

Timbalan menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata ia jelas menunjukkan pemahaman mereka terhadap pengeluaran KWSP hanyalah dilakukan semasa penularan COVID-19 sahaja.

Menurut Ahmad, dalam 12 sesi dialog Belanjawan 2023 bersama kementerian berkaitan turut melibatkan jabatan, agensi kerajaan, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) itu, meminta peruntukan tambahan bagi Belanjawan 2023.

"Setakat ini, kita menganalisis begitu banyak pandangan dan cadangan daripada individu, pertubuhan bukan kerajaan.

"Tetapi dalam cadangan yang saya hadiri itu tidak ada satu pun yang minta KWSP, kecuali ada satu pertubuhan dalam surat khabar dia maklumkan.

"Dah 12 siri, 8+4, tak ada satu pun minta pengeluaran KWSP, tak ada.

"Mungkin mereka faham pengeluaran KWSP pada ketika COVID-19, kerana tak boleh berniaga, bekerja dengan sempurna, ada masalah kewangan teruk, maka kerajaan buat keputusan benarkan pengeluaran KWSP.

"(Oleh itu), sebagaimana diberitahu perdana menteri, kita akan tolong rakyat dengan kaedah lain," kata Ahmad.

Beliau sebelum itu merasmikan kejohanan sukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong, di sini.

Jelas Ahmad, jumlah caruman KWSP terutama bumiputra amat sedikit, dengan 44 peratus pencarum mempunyai gaji kurang RM2,000 sebulan, manakala 81 peratus pencarum mempunyai gaji kurang RM5,000.

Katanya, terdapat 7.8 juta pencarum KWSP yang aktif dengan 5.4 juta tidak aktif dan tidak mencarum, manakala sejumlah 1.2 juta lagi mencarum sekali setahun.