KUALA LUMPUR:Tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan didiami pekerja asing di tapak pembinaan yang terbabit dalam Kluster Damanlela di Damansara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan tersebut sudah ditutup malah Kementerian Kesihatan (KKM) telahpun menjalankan saringan COVID-19.

“Walaupun kita tak ‘lockdown’ tetapi tapak pembinaan tersebut kita dah tutup jadi pekerja semua telah disaring dan kita fokus kawasan seperti itu.

“KKM akan terus kenal pasti kawasan-kawasan ini dan jika ada keperluan untuk PKPD maka kita akan laksanakan mengikut lokaliti tertentu sahaja tanpa melibatkan kawasan lain,” katanya ketika sidang media pada Rabu.

Sebelum ini, tapak pembinaan tersebut yang terbabit dalam Kluster Damanlela melaporkan kes COVID-19 yang agak tinggi di Kuala Lumpur.

Situasi di tapak pembinaan tersebut sebelum ini turut mencetus kebimbangan apabila gambar pekerja asing yang memakai gelang merah jambu berjalan di kawasan itu menjadi tular.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kemudian menjelaskan semua mereka yang sudah menjalani proses saringan hanya bergerak di dalam kawasan tersebut tanpa keluar ke tempat lain.