Tiada negara dan tamadun di dunia ini yang telah maju dengan bahasa menggunakan bahasa orang lain.

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamalshukri Abdullah Sani menegaskan ada juga negara yang menjulang bahasa orang lain berpuluh-puluh tahun sejak merdeka tidak juga maju hingga sekarang.

"Sebagai negarawan ulung, izinkan kami dan rakyat menyanjung perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan segala jasanya sehingga ke akhir hayat dan tidak sekadar separuh jalan.

"Janganlah izinkan diri Dr Mahathir menjadi hikayat klasik Mak Sirandang, dagang lalu maka nasi ditanakkan, tiada kayu tiang rumah ditebang, anak di pangkuan dibiar kebuluran.. (bahasa sendiri dihumbankan…)

"Maafkan kami Dr Mahathir, inilah suara ikhlas demi agama, bangsa, bahasa dan negara Malaysia tercinta," katanya dalam satu kenyataan di sini.

BACA: Perbincangan PPSMI masih di peringkat awal - Dr Wan Azizah

BACA:
KPM akan bincang pelan pelaksanaan PPSMI - Teo Nie Ching

Kamalshukri mengulas keputusan Dr Mahathir yang mahu PPSMI dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini.

Pemangku Menteri Pendidikan itu berkata Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.

Kamalshukri menjelaskan sejak 1957 sehingga 1970, PLM sedar wujud sekolah kebangsaan (Melayu) dan sekolah menengah Jenis kebangsaan Inggeris.

"Demi perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa bagi semua bidang ilmu dari sekolah rendah hingga ke universiti, melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa penghantar Inggeris ditukar beransur-ansur kepada bahasa Melayu bermula dari sekolah rendah, seterusnya SRP menggantikan LCE (kemudian PMR dan kini PT3), SPM menggantikan MCE, STP/STPM menggantikan HSC.

"Seterusnya bidang pengajian sastera dan sekutunya di universiti dan akhir sekali bidang sains termasuk perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain bermula dari tahun 1980 hingga selesai kira-kira tahun 1983.

"Malah sekitar tahun 1970 seperti yang pernah disiar dalam akhbar Utusan, Dr Mahathir pada masa itu memberi saran agar bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar tunggal di universiti," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pada tahun 2002, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri memberi saranan yang terbalik agar bahasa Inggeris digunakan dalam bidang sains dari sekolah hingga universiti dengan serta-merta dan tergopoh-gapah.

Jelasnya, ia dibuat tanpa sebarang kajian dan langsung tidak mengendahkan nasihat pakar pendidikan dan pakar bahasa.

"Kemuncak bantahan ialah perarakan 100,000 rakyat ke Istana Negara untuk menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong setelah semua perundingan dan rayuan tidak diendahkan.

"Berpuluh-puluh kajian yang dibuat oleh banyak universiti, para profesor, DBP sendiri, PEMBINA dan lain-lain tidak dipedulikan langsung," ujarnya.

Tegas Kamalshukri, lebih RM4 bilion yang dibelanjakan dalam tempoh tujuh tahun hanya meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris pelajar sekadar kira-kira 4 peratus.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan kementeriannya akan membincangkan dengan lebih lanjut pelan pelaksanaan PPSMI secara menyeluruh.

Menurutnya, setakat ini PPSMI dilaksanakan secara dwibahasa di lebih 2,000 buah sekolah seluruh negara.

Hasrat melaksanakan semula PPSMI mendapat tentangan ramai pihak, termasuk daripada kalangan pimpinan dalam Pakatan Harapan.