Berbicara mengenai perpaduan tidak akan lengkap dan tiada penyatupaduan nasional sekiranya rakyat Malaysia tidak rasional di dalam usaha membina masa depan negara.

Realiti masa kini yang menyaksikan polarisasi kaum kian menebal mendesak teras muafakat yang dibina sejak pra-merdeka sehingga kini disuntik satu formula baru.

Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Dr. Kamaruddin Mohd Said menegaskan masyarakat abad ke-21 kini menekankan tentang keadilan semula jadi merentasi apa jua perkara.


Sementara itu, Prof. Dr. Kamaruddin semasa ditemubual Awani745 menegaskan kurangnya pengetahuan dan kearifan masyarakat untuk menghayati muafakat berasaskan roh Perlembagaan Persekutuan menjadi punca yang mengekang penyatupaduan nasional.

Selain sentiasa rasional di dalam membicarakan masa depan perkongsian masyarakat majmuk di Malaysia, beliau turut menyeru agar budaya keilmuan terus diangkat sebagai instrumen penyatupaduan nasional.

Prof. Dr Kamaruddin menganalisa elemen yang perlu di dalam meninjau semula lapan perkara yang digariskan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di dalam memastikan kelangsungan hayat Malaysia.

Baginda menekankan tentang dinamik politik yang sedang berlaku ketika ini hendaklah dijadikan cermin wajah negara sebenar yang merentasi usia 56 tahun.

Pada masa yang sama, baginda turut menekankan realiti yang perlu dihayati semula oleh orang Melayu sekarang untuk melangkah ke hadapan.

Baginda bertitah demikian semasa sidang Kongres Profesor Negara II yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad.