KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.104 Subang susulan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Rakyat berkenaan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, menerusi surat bertarikh 11 Ogos 2026.
Menurutnya, pemakluman itu diterima susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen secara sukarela berkuat kuasa 10 Ogos 2026.
“Wong Chen telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 5 Ogos 2026.
“Sehubungan itu, kekosongan kerusi Dewan Rakyat berkenaan telah diisytiharkan di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa pada jam 5 petang, Isnin.
Ramlan berkata, berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka berkenaan.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.104 Subang akan dijalankan,” katanya.