NATIONAL
Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi di Istanbul - Wisma Putra

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Istanbul, Turkiye, pada Rabu, menurut Kementerian Luar. - Foto REUTERS/Murad Sezer
PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Istanbul, Turkiye, pada Rabu, menurut Kementerian Luar.
Ringkasan AI
- Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Istanbul, Turkiye.
- Wisma Putra memantau rapat situasi dan menasihatkan rakyat Malaysia di Turkiye supaya berwaspada serta ikut arahan pihak berkuasa tempatan.
- Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul sedia dihubungi untuk bantuan dan maklumat lanjut.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Turkiye supaya berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul yang terletak di Polat Plaza, Sisli melalui talian +90-212 989 10 01 (waktu bekerja) atau WhatsApp +90 531 716 05 51 (luar waktu bekerja), atau e-mel ke [email protected].
Wisma Putra akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan maklumat terkini jika perlu, menurut kenyataan itu.
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 menggegarkan Turkiye pada Rabu dengan pusat gempa terletak di Daerah Silivri, Istanbul, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Gegaran pada 12.49 tengah hari waktu tempatan (0949 GMT) itu turut dirasai dengan kuat di seluruh Istanbul dan wilayah berdekatan, menyebabkan penduduk panik dan meninggalkan bangunan.
Satu lagi gegaran susulan bermagnitud 4.9 direkodkan pada 1.02 tengah hari (1002 GMT), dengan pusatnya di luar pesisir Buyukcekmece di Laut Marmara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami