Tibi: Tiada arahan penutupan sekolah di Kota Tinggi - Exco

Aznan turut menasihatkan pihak sekolah supaya sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan KKM dari semasa ke semasa. - Bernama
JOHOR BAHRU: Tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan setakat ini susulan beberapa murid di daerah Kota Tinggi dikesan menghidap tuberkulosis (tibi), kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.
Beliau berkata sebarang keputusan berkaitan penutupan sekolah adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), dan hingga kini keadaan masih terkawal dengan semua langkah pencegahan telah dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
Aznan berkata kes tibi yang dikesan sebelum ini melibatkan enam murid dari lima sekolah berbeza, merangkumi tiga sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah berkenaan.
"Setakat ini, semua murid di sekolah terlibat telah menjalani saringan sepenuhnya oleh KKM. PKD turut melaksanakan kerja sanitasi dan pembersihan menyeluruh di kawasan yang dikenal pasti berisiko, selain mengadakan sesi libat urus bersama pihak pengurusan sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebagai langkah memperkukuh kefahaman dan memastikan ketelusan maklumat, PKD akan mengusahakan kehadiran pegawai perubatan di sekolah terlibat bagi memberi penerangan lanjut berkaitan penyakit tibi serta langkah pencegahan yang perlu dipatuhi oleh warga sekolah.
Aznan turut menasihatkan pihak sekolah supaya sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan KKM dari semasa ke semasa, selain tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih hingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
"Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan KKM dan PKD bagi memastikan situasi ini kekal terkawal, ditangani secara berhemah dan telus, demi kesejahteraan anak-anak Johor," katanya
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


