IPOH: Perak belum bercadang untuk menguatkuasakan peraturan dan kaedah membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri sebagaimana yang akan dilakukan di negeri Melaka baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun mengulangi saranan dan nasihat khususnya kepada rakyat di negeri ini untuk tidak alpa dan mengambil mudah dengan risiko penularan COVID-19.

"Kita masih lagi terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), walaupun sudah beralih kepada fasa endemik tetapi ia tidak bermakna kita bebas (penularan COVID-19).

"Kita nasihatkan orang Perak sebab dikatakan varian Omicron dan satu lagi Omicron XE ini lagi mudah berjangkit, kepada kanak-kanak juga. Jadi kerana itu berhati-hatilah.

"Kita tiada arahan begitu ( kuat kuasa peraturan dan kaedah bawa kanak-kanak ke bazar) sebab sekarang fasa endemik. Tapi saya selalu nasihatkan rakyat Perak supaya sentiasa berwaspa.

"Sebab kita tengok sekarang ramai yang macam terlupa. Saya tengok di kedai makan dan selepas solat sunat Tarawih ramai makan di kedai kopi dan sebagainya, nampak terlampau riang ria, jangan lupa kita nak beraya (Aidilfitri)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Baru-baru ini media melaporkan, Melaka akan menguatkuasakan peraturan dan kaedah membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri demi menjaga keselamatan dan kesihatan golongan itu daripada dijangkiti COVID-19.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan, berkata ia selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa kawasan sesak yang sempit dengan orang ramai adalah suasana tidak baik kepada kanak-kanak, terutama mereka yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi.