KULIM: Tidak sempat sarapan, seorang warga emas maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Paya Besar, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, dalam kejadian jam 8.26 pagi, mangsa Mangsa Muniandy A/L Supramaniam, 78, baru keluar dari rumahnya untuk bersarapan di kedai makan yang terletak di seberang jalan.

“Ketika mangsa sedang melintas jalan tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Iswara datang dari arah Paya besar menghala ke Hi-Tech, tidak sempat menghentikan kenderaan lalu melanggar mangsa yang ketika itu sedang melintas jalan.

“Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak lebih 10 meter ke tengah jalan dan maut serta-merta,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Sazalee berkata, mangsa maut dipercayai akibat kecederaan parah di kepala dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.