KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membawa empat pembaharuan perundangan menerusi Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 bagi memperkukuh ekosistem perumahan negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pembaharuan itu merangkumi cadangan Akta Pemaju Perumahan (Property Development Act), Akta Pengurus Bangunan (Building Managers Act), Akta Sewaan Kediaman (Rent Tenancy Act) serta pindaan Akta Pengurusan Strata 2013.
Jelasnya, Akta Pemajuan Harta Tanah akan menyediakan kerangka perundangan lebih menyeluruh terhadap pembangunan hartanah, manakala Akta Pengurus Bangunan pula menetapkan peraturan, standard profesional dan akauntabiliti lebih jelas bagi ejen pengurusan bangunan
“Akta Sewaan pula bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan kepada pemilik dan juga penyewa, kedua-dua belah pihak ada hak yang perlu dijaga.
"Seterusnya pindaan Akta Pengurusan Strata bertujuan memperkemas tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta Perbadanan Pengurusan (MC),” katanya ketika sidang media sempena pelancaran DRN 2026-2035, di sini, pada Isnin.
Kor Ming berkata, pembaharuan berkenaan penting susulan kadar urbanisasi Malaysia kini mencecah 78 peratus dan dijangka meningkat kepada 85 peratus menjelang tahun 2040, sekali gus memerlukan kerangka perundangan perumahan yang lebih progresif dan komprehensif.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, DRN 2026-2035 digerakkan menerusi 10 teras utama dengan pendekatan perumahan manusiawi, iaitu mengubah perspektif perumahan daripada sekadar komoditi pasaran kepada satu keperluan asas bagi menyokong kehidupan rakyat secara bermaruah.
Dalam perkembangan berkaitan, ujar Kor Ming, kerajaan telah berjaya memulihkan 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai sejak penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) pada Januari 2023 hingga 30 Jun 2026.
Pemulihan itu melibatkan 192,912 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM153 bilion.
Beliau menambah, kerajaan kini menyasarkan sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030 menerusi agenda Reformasi Perumahan MADANI, termasuk penggunaan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA), penambahbaikan platform TEDUH serta reformasi perundangan.
“Saya akan pantau setiap bulan untuk pastikan menjelang 2030, negara kita tiada lagi projek yang terbengkalai, untuk menjamin kepentingan pengguna dan juga memastikan kelestarian industri hartanah negara kita,” ujarnya.
Menurut Kor Ming, DRN 2026-2035 bukan sekadar menetapkan sasaran pembinaan rumah, sebaliknya membentuk ekosistem perumahan yang lebih mudah dimiliki, selamat, selesa, inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.