PONTIAN: Mangsa kemalangan maut, Nor Daniel Aiman Norlizan, 18, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini, pagi Khamis.
Dua adiknya yang membonceng motosikal berkenaan, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya Norlizan, 8, pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata motosikal itu dipercayai dalam perjalanan dari Jalan Parit Haji Omar menghala ke Kayu Ara Pasong.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal itu dipercayai bertembung dengan sebuah lori jenis Daihatsu yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.
"Dua adiknya yang juga pembonceng masing-masing berusia 11 dan lapan tahun turut mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pemandu lori berusia 69 tahun mengalami kecederaan pada tangan serta kedua-dua lutut dan telah menerima rawatan.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati motosikal berkenaan dipercayai melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori terbabit.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar serta keadaan yang membawa kepada pelanggaran itu.
"Kedua-dua kenderaan terbabit turut ditahan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.
Hadzrat Hussien berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau menghubungi Inspektor S. Roshini di talian 016-2553983 bagi membantu siasatan. -Sinar Harian