Skip to main content

Malaysia

Tiga beranak maut dilanggar lori Imigresen: 'Arwah tidak sempat ziarah ibu di Semenyih'

[TB]_maut dilanggar lori imigresen 3_SINAR
Zaid (kanan) ketika ditemui di pekarangan IPFN HKL pada Rabu. -Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: "Arwah sempat hubungi kakaknya pada jam 10.30 malam dan beritahu sudah sampai Kuala Lumpur."

Itu perkongsian Zaid Darfis, 39, anak saudara kepada Allahyarham Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, yang terlibat dalam kemalangan maut bersama dua anaknya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12.

Menurut Zaid, dia dimaklumkan keluarga Allahyarham tiba di Kuala Lumpur pada Selasa untuk menziarahi ibunya di Semenyih.

"Arwah sempat hubungi kakak beritahu sudah sampai di Kuala Lumpur.

"Saya hanya mengetahui kejadian (kemalangan) ini selepas mentua telefon kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

"Memang terkejut... selepas itu bila tengok Twitter, TikTok, baru nampak kes ini (tular)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Tambah Zaid, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ketika majlis perkahwinan anak sulungnya di Kampar, Perak, beberapa bulan lalu.

"Masa jumpa itu arwah macam biasa sahaja. Kejadian ini memang tak disangka," katanya.

Sinar Harian difahamkan, ketiga-tiga jenazah akan dibawa pulang ke Kampar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu dalam satu liang lahad.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction itu melibatkan sebuah lori Isuzu Black Maria milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, dua buah kereta dan empat orang pejalan kaki yang juga merupakan satu keluarga.

Tiga mangsa disahkan maut, manakala seorang lagi wanita berusia 55 tahun cedera dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Lori tanpa penumpang berkenaan sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki Melayu berusia 50 tahun melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.

Pemandu Proton Saga terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.

Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar kesemua mangsa serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement