Skip to main content

Malaysia

Tiga beranak maut: Pemandu lori Imigresen mengaku tidak bersalah, diikat jamin RM60,000

KUALA LUMPUR, 20 Ogos -- Pemandu lori Black Maria milik Jabatan Imigresen (JIM) Mohd Akbar Zainol, 43, (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Jalan Sultan Ismail, awal pagi semalam.  Mohd Akbar mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Aliaa Anwar.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mahkamah membenarkan Mohd Akbar Zainol diikat jamin RM60,000 bagi kesemua lima pertuduhan dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes. - Gambar/ BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemandu lori Jabatan Imigresen yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan tiga beranak di Jalan Sultan Ismail, di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Khamis atas lima pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk gagal mematuhi lampu isyarat.

Tertuduh, Mohd Akbar Zainol, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

Memetik laporan media tempatan, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kesemua lima pertuduhan dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dilanggar sebuah lori JIM dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum terbabas dan merempuh empat pejalan kaki serta sebuah kenderaan lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun tanpa membawa penumpang ketika kejadian.

 

[BERITA LANJUT MENYUSUL] 

Must Watch Video

Advertisement